Pengalaman Bersalin

Alhamdulillah, masuk hari ini sudah 22 hari usia anak keempat Kak Yong. Mungkin belum terlambat lagi untuk Kak Yong kongsikan pengalaman bersalin si kecil, Hafiy. Jika orang tanya, macam mana sakit bersalin secara semulajadi tanpa induce, Kak Yong memang tidak boleh komen kerana kesemua anak Kak Yong dilahirkan secara induce.

Pengalaman bersalinkan anak terdahulu, Harith dan Yasmin mempunyai masalah air ketuban bocor. Untuk  dua daripadanya memang mudah untuk dikenali ketuban bocor sebab bergerak sahaja memang keluar air macam terkucil sedikit. Walau bagaimanapun, untuk Hafiy memang Kak Yong tak sedar sebab mungkin bercampur dengan sedikit masalah keputihan. Nasib baik ada temujanji doktor pada minggu ke 39 pada 12 Mei 2015. Itu pun disebabkan ketika scan terdapat masalah bayi kecil pada temujanji yang lepas barulah ada temujanji pada minggu ke 39 di HUKM bagi menentukan tarikh akhir masuk hospital.

Pengalaman Bersalin

Ketika scan dan pemeriksaan,  doktor menyuarakan kerisauan kerana bayi dalam kandungan kecil lebih kurang 2.4kg sahaja dan tiada perkembangan pertumbuhan dari yang lepas. Air ketuban juga telah berkurang dari 11 kepada 7. Doktor juga mencadangkan sampel swab diambil bagi menentukan sama ada berlaku kebocoran air ketuban. Dan ujian tersebut positif air ketuban Kak Yong bocor. Lama ke sekejap bocornya memang Kak Yong tak dapat bagi pengesahan. Jika lebih 24 jam mungkin bayi dalam kandungan akan dijangkiti bakteria. Jika ya, maka bayi Kak Yong terpaksa dimasukkan antibiotik.

Disebabkan saya bersalin di HUKM maka husband memang tidak dibenarkan tunggu di wad. Melainkan jika berada jika berada di dewan bersalin barulah suami boleh teman. Dan disebabkan pengalaman dimasukkan ubat yang terdahulu tidak membawa sebarang kesan, Kak Yong pun suruhlah husband Kak Yong balik sahaja ke rumah. Yakin sangat akan bersalin pada esok hari 13hb.

Dan, seperti kelahiran terdahulu prosedur induce memang menjadi sahabat baik Kak Yong. Doktor memasukkan ubat untuk mencetuskan kelahiran yang melembutkan rahim dan laluan bayi pada pukul 4.30 petang. Orang kata, sakit bersalin induce ini lebih lagi berbanding sakit semulajadi. Ketika prosedur VE seorang kakak yang menunggu kelahiran kelima tanpa dimasukkan ubat induce, relax sahaja mukanya. Tapi saya, memang tak menahan sakitnya. Bukaan jalan kakak anak lima sama okay dengan Kak Yong.

Tapi yang sedih setelah 6 jam (10.30 malam) ubat dimasukkan bukaan jalan baru sahaja 3cm. Doktor mencadangkan diberikan ubat tahan sakit memandangkan muka Kak Yong memang nampak sakit sangat ketika contraction. Walau bagaimanapun, jururawat di wad bersalin tidak setuju memberikan ubat tahan sakit kerana akan membuatkan Kak Yong mengantuk dan tidak sedar jika bukaan telah mencapai full term memandangkan ini adalah anak keempat bagi Kak Yong.

Memang merasalah sakit bersalin tahap induce tanpa ubat tahan sakit. Bayangkan di dalam wad, menahan sakit contraction tanpa sesiapa memang bertawakal sahaja. Mandi, solat Isyak serta solat Hajat memohon agar segalanya selamat dan dipermudahkan bagi saya. Kemuncak sakit ketika contraction adalah pada 12.30 tengah malam sehingga pukul 2.00 pagi.

Prosedur VE dilakukan dan bukaan baru sahaja 5cm dan saya akan dimasukkan ke dalam dewan bersalin. Walau bagaimanapun, air ketuban mesti dipecahkan terlebih dahulu dan doktor mengalami kesukaran untuk memecahkan air ketuban kerana keliru sama ada rahim, air ketuban ataupun kepala bayi. Dan setelah hampir 20 minit barulah air ketuban berjaya dipecahkan. Kak Yong ditolak ke dewan bersalin pada pukul 3.00 pagi dan pukul 3.22 pagi Kak Yong bersalin dengan selamatnya tanpa ubat tahan sakit, tanpa dimasukkan drip air garam serta memang tidak sempat nak pakai tali pinggang CTG untuk bayi. Kak Yong pun ketika fasa sakit memang sudah tak sempat nak hubungi husband. Just, tawakal sahaja.

Pengalaman Bersalin

Alhamdulillah, ujian darah Hafiy juga menunjukkan negatif dari sebarang jangkitan bakteria. Jika tidak memang berkampung lamalah kami di HUKM. Pengalaman bersalin Harith yang kena ambil antibiotik membuatkan kami tinggal di hospital selama 5 hari. Walau bagaimanapun, doktor terpaksa juga mengawasi keadaan Hafiy selama 48 jam sebelum kami dibenarkan pulang.

Nasihat Kak Yong, walau apa pun jua yang penting kena utamakan keselamatan bayi dan juga ibu yang melahirkan. Boleh pilih untuk bersalin secara semualajadi tetapi segalanya mestilah atas nasihat doktor. Dan kena sentiasa set mind bahawa tubuh wanita memang dicipta untuk melahirkan bayi dan segala ujian kesakitan itu Allah hantar mengikut kemampuan kita. boleh klik link ini dan ini untuk mengetahui tanda air ketuban bocor.

7 Comments

  1. Noriza Rahman June 3, 2015
  2. rahimah June 3, 2015
    • Azimah June 6, 2015
  3. Sani June 3, 2015
    • Azimah June 6, 2015
  4. Hero Borneo June 4, 2015
    • Azimah June 6, 2015