Kelebihan Sedekah

Rasa macam nak rest daripada cerita Shaklee. Kita cerita tentang kelebihan sedekah. Saya cuma nak share serba sedikit apa yang saya tahu tentang sedekah. Sedekah ini memang digalakkan dalam Islam. Matematik Allah memang lain berbanding matematik kita. Kalau matematik biasa 1-1=0. Keajaiban matematik Allah 1-1=10. Begitu besar ganjaran yang Allah bagi kepada mereka yang suka bersedekah.

Antara kelebihan sedekah ialah sebagai penyubur kebaikan serta melipat gandakan rezeki seseorang hamba. Allah berfirman yang bermaksud:

Kelebihan sedekah

Kelebihan sedekah

“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 261).

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah ayat 262).

Selain itu, banyak hadis Nabi juga menyatakan tentang kelebihan sedekah :

“Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim).

“Sedekah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta. (Riwayat Ahmad).

Selain itu, sedekah yang paling afdhal hendaklah diberi kepada saudara-mara kita yang lebih memerlukan :

“Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, namun apabila diberi kepada yang punyai pertalian (kerabat), dua pahala iaitu satu sedekah dan satu lagi adalah merapatkan hubungan.” (Riwayat At-Tirmidzi).

Nikmat Sedekah

Nikmat Sedekah

Antara kelebihan bersedekah ialah boleh membantu meringankan bebanan orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. Rasulullah bersabda:

“Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).

Mengikut apa yang saya faham, setiap rezeki yang kita dapat, ada peruntukan atau bahagian untuk orang lain. Mungkin bagi saya duit gaji yang dapat ada peruntukan untuk belanja sekolah anak, yuran taska, bayar bil-bil dan sebagainya. Hanya yang saya sedekahkan sahaja yang memang betul hak saya. Sedekah merupakan pelaburan akhirat.

Selain itu, kelebihan sedekah tidak hanya terhad kepada pemberian wang ringgit mahupun harta benda. Tahukah anda, jika kita tidak berkemampuan untuk memberi sedekah wang ringgit, dengan melakukan solat Dhua, bertasbih, bertahmid, memberi salam serta senyum dengan ikhlas juga merupakan sedekah.

Amalan bersedekah juga sebagai tanda kita mensyukuri nikmat Allah. Walau apa jua, yang penting kenalah ikhlas kerana Allah. Jom, jadikan amalan sedekah dalam kehidupan harian kerana kelebihan sedekah memang tidak dapat disangkal lagi.

One Response

  1. Nurul Fazreen Othman October 27, 2014